5 Hikmah Menjadi Wanita Bujang

Kongsikan di

Hari itu kita duduk sendirian di meja tetamu. Satu lagi majlis perkahwinan seorang rakan yang kita hadiri. Rakan-rakan yang lain juga hadir, namun dengan pasangan masing-masing. Pada suatu masa, hati berdetik. Rasa terlalu banyak persoalan tentang jodoh hendak diajukan kepada Allah. Tidak menolak, tidak mengalah walaupun ramai membuat andaian kita memilih. Sudah beribu kali soalan yang sama mereka ajukan kepada kita sedangkan kita sendiri masih menunggu jawapan dari Allah s.w.t.
Sedar tidak sedar, kita lupa melihat kebaikannya. Berikut adalah 5 perkara untuk disyukuri sebagai seorang wanita bujang:

1# Mematangkan Fikiran

Jika terlalu difikirkan, akan mengundang sedih dan kecewa. Mungkin juga anda akan mempersoalkan hal ini kepada Allah. Tapi Allah tidak zalim, malah Allah Maha Adil. Allah jualah yang memiliki cinta. Allah jua yang sentiasa meletakkan hidup kita dalam kasih-sayangnya. Mustahil semua ini berlaku tanpa sedikit pun hikmah.
Justeru, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mengubah cara berfikir. Bersangka baiklah dengan Allah. Masa hadapan belum pasti dan belum tentu ada. Serahkan itu kepada Allah s.w.t.
Tidak perlu membandingkan diri kita dengan wanita lain kerana kita semua mempunyai jalan hidup kita sendiri. Rezeki kita semua berbeza dari pelbagai segi termasuk masa.
Jangan ditentukan bahagia dengan sebuah perkahwinan kerana bahagia itu datang dari diri sendiri. Ujian tidak akan berhenti walaupun setelah berkahwin kerana memang begitulah jalan sebuah kehidupan. Jadi, buangkan kerisauan untuk hal yang belum pasti. Cintailah masa yang anda miliki sekarang.
Hargailah hidup sebagai wanita bujang. Hargai ruang peribadi anda. Perkara penting adalah untuk anda berasa selamat dan tidak bergantung melainkan kepada Allah. Ini juga masa terbaik untuk anda merancang kembali tujuan hidup anda. Lihat bagaimana semua ini mematangkan fikiran anda, membezakan anda dengan yang lain.

2# Mengenali Cinta Sebenar

Cinta yang paling utama adalah cinta kepada Allah. Jika anda sudah berkahwin pun, cinta mesti disalurkan kepada Allah. Jadi, lakukan yang sebaiknya bermula sekarang. Penuhi hati dengan cinta kepada Allah s.w.t. Perbaiki akhlak sebagaimana yang disukai Allah dan RasulNya.
Jika ada jodoh kita di dunia ini, cinta kepada makhluk telah kita pegang dengan cinta yang mendalam kepada Allah. Pada masa itu, anda sudah pun bersedia. Anda sudah memiliki banteng diri yang kuat. Jika tiada jodoh kita, kita sudah ada cinta yang sejati, malah sebuah cinta yang lebih agung. Benar-benar cinta sampai ke syurga.
Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.”
Maka, inilah masa terbaik untuk kita menjadi “sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.”

3# Menyemai Sifat Memahami

Bukan tidak peduli, tapi kita lebih memahami perasaan yang sedang kita lalui. Manusia akan tetap berkata walau apa pun yang berlaku. Pelbagai soalan akan diterima. Bukan itu sahaja, soalan juga boleh berubah walaupun selepas berkahwin.
Ingatlah, bahawa itu semua hanya pandangan manusia. Ia sesuatu yang normal untuk bertemu orang seperti mereka. Jika perlu, jawab dengan penuh rasa hormat. Atau mungkin, hadiahkan sahaja dengan senyuman. Dalam keadaan orang lain melihat diri kita kesunyian, kita sudah hidup dalam kedamaian.
Kerana itu kita lebih memahami insan lain. Kita faham perasaan pasangan yang tidak mempunyai anak, kita faham ibu bapa yang mempunyai anak istimewa, kita faham mereka yang mempunyai harapan yang belum tercapai dan sebagainya.

4# Dapat Memanfaatkan Masa

Hindarkan sikap suka membuang masa. Hidup ini hanya sementara. Segala apa yang kita lakukan di dunia ini akan membawa kita sama ada ke syurga atau neraka. Oleh itu, isi dunia ini sebaiknya. Banyakkan amalan.
Anda boleh melibatkan diri dengan organisasi bukan kerajaan yang aktif membantu mereka yang kurang bernasib baik. Atau anda boleh mengambil inisiatif memulakan sesuatu yang menambah nilai, bukan sahaja kepada diri anda, tapi juga kepada masyarakat
Lakukan semua ini untuk Allah, cinta hati kita semua.
Anda akan mendapati hidup ini mempunyai lebih nilai dan menjadikan hidup anda sendiri sesuatu yang bernilai. Di luar sana ramai insan yang nasibnya jauh lebih menyedihkan namun mereka harungi jua dengan kesabaran dan kekuatan.

5# Dapat Menambah Ilmu Dan Pengalaman

Menjadi wanita bujang bermakna anda ada masa dan kebebasan. Jadi, ini adalah ruang terbaik untuk anda menuntut ilmu. Anda boleh menyambung pengajian atau mengikuti mana-mana kursus kemahiran termasuk kursus profesional. Sekiranya anda ada minat pada bidang tertentu, jadikan ini masa untuk anda menjadi pakar dalam bidang itu.
Jadilah manusia yang mencintai ilmu. Banyakkan menghadiri majlis ilmu. Dengan ilmu, darjat kita meningkat dan dengan ilmu kita mohon direndahkan hati kita.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud;
“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman diantaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”
Al-Mujadalah: 11
Tambah pengalaman dengan meneroka alam ini. Alam ini amat luas dan terlalu banyak untuk dipelajari dan dihayati. Di setiap sudut sentiasa ada sesuatu untuk difikirkan. Belajar untuk melihat dunia dari perspektif yang berbeza. Bertemu pelbagai jenis manusia dengan perbezaan adat dan budaya akan membuka minda kita.
Secara fitrahnya, semua orang mahu menyayangi dan disayangi. Siapa yang sudah bertemu pasangannya, bersyukurlah dengan impian yang sudah tertulis sejak azali lagi. Bagi yang bujang, tiada bezanya dengan mereka. Semuanya juga sudah ditulis oleh Allah s.w.t. Semuanya berada dalam susunan yang amat rapi.
Tanamkan keyakinan kepada Allah kerana memang itulah hakNya. Tanggungjawab kita adalah menjadi umat Islam terbaik disisiNya. Teruskan usaha, doa dan tawakal. Allah sentiasa bersama kita.
Sumber: tazkirah.net
loading...

1 Response to "5 Hikmah Menjadi Wanita Bujang"

  1. ingin mendapatkan uang banyak dengan cara cepat ayo gabung di FANSPOKER
    ditunggu apa lagi mari segera bergabung dengan kami ya ^^

    ReplyDelete

Didakwah