Betulkah Dengan Mandi Pun Boleh Dapat Pahala?

Kongsikan di

“Nabi s.a.w biasanya mandi kerana empat hal iaitu kerana junub, pada hari Jumaat, setelah berbekam dan setelah memandikan mayat.” Riwayat Abu Daud

Image result for Betulkah Dengan Mandi Pun Boleh Dapat Pahala?


Islam amat mementingkan kebersihan. Ini kerana apabila tubuh dan persekitaran kita bersih, kita akan menjadi lebih sihat. Sebab itu, dengan menjaga kebersihan pun kita akan mendapat pahala.
Ada 10 jenis mandi sunat yang digalakkan kepada umat Islam, iaitu;

#1 – Mandi Hari Jumaat

Daripada Abu Said al-Khudri r.a. dan Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda (maksud):
“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat dan memakai pakaiannya yang paling baik dan memakai wangi-wangian, jika ada, kemudian dia menghadiri solat Jumaat dan tidak melangkah tengkuk orang lain. Setelah itu, dia bersolat sebagaimana yang Allah telah tetapkan kepadanya dan kemudian dia diam apabila imam keluar sehinggalah selesai solatnya, kafarahnya bagi apa yang dilakukannya di antara Jumaat tersebut dengan yang sebelumnya. Kata Abu Hurairah dan ditambah 3 hari lagi. Dan satu kebaikan (yang dilakukan pada hari itu) dibalas dengan 10 ganjaran.”Riwayat Abu Daud

#2 – Mandi Setiap Kali Melakukan Hubungan Kelamin

Berdasarkan hadis Abu Rafi bahawa (maksud):
“Rasulullah s.a.w pernah menggiliri isteri-isterinya pada satu malam, ketika itu Baginda mandi selepas setiap kali jimak. Abu Rafi menyatakan, lalu saya katakan kepadanya, “Wahai Rasulullah, mengapa engkau tidak menjadikannya dengan satu mandi?” Baginda menjawab, “Ia lebih bersih dan lebih baik dan lebih suci.”Riwayat Abu Daud

#3 – Mandi Ketika Hendak Berihram Untuk Haji Atau Umrah

Berdasarkan kepada hadis riwayat al-Tirmizi daripada Zaid bin Thabit al-Ansari yang menceritakan bahawa dia melihat Rasulullah s.a.w meninggalkan pakaian untuk berihram kemudian Baginda mandi (maksud);
“Daripada Kharijah bin Zaid bin Tsabit daripada ayahnya (Zaid bin Tsabit) bahawa dia (ayahnya) telah melihat Nabi s.a.w menanggalkan pakaian untuk mengerjakan ihram dan Baginda mandi (sebelum memakai pakaian ihram).”Riwayat al-Tirmizi

#4 – Mandi Ketika Memasuki Kota Makkah

Daripada Nafi’ telah berkata (maksud);
“Apabila Ibn Umar telah tiba berhampiran Tanah Haram dan berhenti bertalbiah. Kemudian beliau bermalam di Dzi Thuwa, solat Subuh di situ dan mandi (sebelum meneruskan perjalanan memasuki Makkah).” Beliau mengatakan bahawa Nabi s.a.w mengerjakan perbuatan tersebut.Riwayat al-Bukhari

#5 – Mandi Setelah Memandikan Mayat

Riwayat Abu Hurairah r.a. yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w;
“Sesiapa yang memandikan mayat, hendaklah dia mandi dan sesiapa yang mengiringnya maka berwuduklah.”Riwayat Abu Daud

#6 – Mandi Setelah Menguburkan Orang Musyrik

Berdasarkan hadis Ali bin Abu Talib r.a bahawa (maksud);
“Saya berkata kepada Nabi s.a.w bahawa bapa saudaranya (bapa Ali) yang sesat telah meninggal dunia, lalu Baginda berkata: “Pergi kuburkan bapamu dan jangan lakukan apa-apa selepas itu sehinggalah kamu datang kembali kepadaku.” Kemudian, saya pun pergi menguburkannya dan kembali kepadanya (Rasulullah. Lalu dia memerintahkan saya agar mandi dan saya pun mandi dan Baginda mendoakan saya.”Riwayat Abu Daud

#7 – Mandi Selepas Sedar Daripada Pitam, Mabuk Atau Gila

Berdasarkan kepada hadis Aisyah r.h.a, katanya (maksud);
“Nabi s.a.w pernah merasakan dirinya sangat berat untuk bangun (kerana sakit), lalu beliau bertanya: “Belum, mereka semua menunggumu.” Dia berkata: “Siapkan air untukku di bekas besar.” Aisyah berkata: “Kami pun melakukan perintahnya.” Lalu dia mandi kemudian bangkit untuk berangkat, dan tiba-tiba dia jatuh pengsan. Setelah dia sedar kembali, Baginda bertanya: “Adakah orang ramai telah bersolat?” Kami menjawab, “Belum, mereka semua menunggumu, wahai Rasulullah.” Baginda pun berkata, “Siapkan air untukku di bekas besar.” Lalu dia duduk dan mandi.”Riwayat al-Bukhari

#8 – Mandi Setelah Berbekam

Berdasarkan riwayat Aisyah r.ha. bahawa (maksud):
“Nabi s.a.w biasanya mandi kerana empat hal iaitu kerana junub, pada hari Jumaat, setelah berbekam dan setelah memandikan mayat.”Riwayat Abu Daud

#9 – Mandi Pada Hari Raya Aidilfitri Dan Aidiladha

Berdasarkan riwayat Ibn Majah dengan sanad dhaif daripada Ibn Abbas r.a katanya (maksud):
“Rasulullah s.a.w mandi pada Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Korban.”Riwayat Ibn Majah

#10 – Mandi Bagi Perempuan Yang Istihadah Setiap Kali Hendak Bersolat

Hadis daripada Aisyah r.ha bahawa Zainab binti Jahsy r.ha telah keluar darah haid, lalu Rasulullah s.a.w berkata kepadanya (maksud);
“Mandilah untuk setiap solat.”Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah







Sumber : tazkirah.net
loading...

0 Response to "Betulkah Dengan Mandi Pun Boleh Dapat Pahala?"

Post a Comment

Didakwah